Khamis, 16 Mac 2017

Soaljawab bedahbatin

Pembedahan Batin

Assalamualaikum ustaz,
Pembedahan batin telah muncul sebagai teknik perubatan yang semakin popular dalam masyarakat kita. Ia sering kali dijadikan alternatif kepada pembedahan biasa untuk penyakit-penyakit yang melibatkan ketumbuhan dan barah. Pada luaran dan zahirnya, pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat alquran dan tidak memperlihatkan ciri-ciri yang boleh diragukan dari sudut syara’ (Contoh: kemenyan, jampi serapah dan sebagainya). Apa pandangan Majlis Ulama ISMA dalam isu ini?
Jawapan :
Islam menyuruh umatnya berikhtiar apabila sakit. Nabi S.A.W sendiri pernah mengubati kaum keluarga, sahabat-sahabatnya dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran serta ubat tradisional. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T bahawa ayat-ayat suci al-Quran menjadi ubat penawar, firmanNya,
Yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”
(Al-Isra’: 82)
Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak Hadith yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan ayat-ayat al-Quran dan doa.
Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang dia­kui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam Hadis-hadis baginda S.A.W.
Sebelum saya memperincikan jawapan soalan di atas, terlebih dahulu saya ingin mendekatkan saudara dengan pengalaman yang dilalui oleh beberapa pesakit yang pernah mendapat rawatan tersebut. Tujuan saya adalah untuk memastikan adakah rawatan alternatif ini benar-benar menepati kaedah syara’ ataupun tidak. Saya perturunkan beberapa pengalaman yang dilalui oleh mereka seperti di bawah :
Pesakit 1
Encik Ibrahim (bukan nama sebenar) pernah mendapat rawatan ini. Beliau menceritakan pengalaman peribadinya sewaktu beliau dibedah secara batin.Katanya cara dia bedah macam doktor..dibelah dengan keris kecil (besi kuning) , lepas itu potong urat (terasa macam kena gentik pada perut), lepas itu digunting, dijahit…darah tak nampak…tapi beliau seorang sahaja yang nampak urat yang telah dipotong dan darah yang memancut tu… kita tak nampak darah, tapi boleh rasa kena hiris, kena jahit, urat kena potong…pedih pun ada, ngilu pun ada, macam kena jentik pun ada.. Bayarannya terpulang kepada keiklhlasan pesakit, katanya beliau merawat secara ikhlas bukan bertujuan komersial. Pengamal menggunakan alat bedah seperti keris kecil, alat jahit dan gunting. Alat itu beliau tak beli dari mana-mana kedai, tapi datangnya dari dunia ghaib (dihantar atas sejadah masa sembahyang). Katanya beliau sembuh sehingga ke hari ini.
Pesakit 2
Pada tarikh 25hb Feb 2009, Encik Fauzi (bukan nama sebenar) menziarahi pesakit kanser kolon yang meninggal. Belum pun genap satu tahun selepas rawatan kemoterapi mengunakan 5-Flurouracil.
Pada hari yang sama juga, beliau ditunjukkan klip rakaman pembedahan batin ke atas pesakit itu, dilakukan sehari sebelum dia meninggal dunia. Bayaran pembedahan RM10,000. Keluarga berpuas hati kerana telah berikhtiar habis-habisan.
Adakah beliau percaya? Apabila melihat, beliau yakin pembedahan dilakukan, tetapi di luar kemampuan manusia biasa. Rumusan beliau, pembedahan dilakukan dengan bantuan lain. Kanser yang dihidapi pesakit sudah begitu teruk, menghalang perjalanan makanan dalam usus. Risiko telah diberitahu kepada pesakit serta keluarga dan mereka telah menandatangani surat menanggung risiko di atas diri sendiri.
Di dalam hati beliau bertanya sama ada pembedahan sebegini mengambil kira margin keselamatan (safe margins) atau tidak. Mungkin tidak, kerana ada pesakit kanser payudara yang beliau jumpai di klinik, mendapat kanser berulang selepas dibuang ketumbuhan secara pembedahan batin semasa mula menjumpai ketulan kanser di payudara. Akhirnya, kena terima kemo yang kuat dan kanser sudah merebak ke paru-paru dan tulang.
Kita dapat merumuskan beberapa persoalan yang timbul daripada pengalaman mereka di atas :
1. Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syara’ ?
2. Adakah Pengamal tersebut menggunakan khidmat khadam ghaib untuk menyembuhkan pesakit ?
1. Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syarak ?
Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab sebagai Ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-kadang amat digalakkan. Ini dapat kita lihat daripada sumber periwayatan Imam Muslim yang menyatakan :
ﻋَﻦْ ﻋَﻮْﻑِ ﺑْﻦِ ﻣَﺎﻟِﻚٍ ﺍﻟْﺄَﺷْﺠَﻌِﻲِّ ﻗَﺎﻝَ : ‏« ﻛُﻨَّﺎ ﻧَﺮْﻗِﻲ ﻓِﻲ ﺍﻟْﺠَﺎﻫِﻠِﻴَّﺔِ ﻓَﻘُﻠْﻨَﺎ ﻳَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻛَﻴْﻒَ ﺗَﺮَﻯ ﻓِﻲ ﺫَﻟِﻚَ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺍﻋْﺮِﺿُﻮﺍ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭُﻗَﺎﻛُﻢْ ﻻَ ﺑَﺄْﺱَ ﺑِﺎﻟﺮُّﻗَﻰ ﻣَﺎ ﻟَﻢْ ﻳَﻜُﻦْ ﻓِﻴﻪِ ﺷِﺮْﻙٌ »
Maksudnya :
Daripada Auf bin Malik r.a berkata:
“Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi s.a.w. : Ya ! Rasulullah S.A.W. apakah pandangan anda tentang jampi ? lalu baginda S.A.W. meminta kepada mereka agar mereka memperdengarkan jampi yang digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda S.A.W menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab La Ba’sa bi al-Ruqaa, Hadis bernombor 4079)
ﻗَﺎﻝَ ﺃَﺑُﻮ ﺍﻟﺰُّﺑَﻴْﺮِ ﻭَﺳَﻤِﻌْﺖُ ﺟَﺎﺑِﺮَ ﺑْﻦَ ﻋَﺒْﺪِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻳَﻘُﻮﻝُ ﻟَﺪَﻏَﺖْ ﺭَﺟُﻼً ﻣِﻨَّﺎ ﻋَﻘْﺮَﺏٌ ﻭَﻧَﺤْﻦُ ﺟُﻠُﻮﺱٌ ﻣَﻊَ ﺭَﺳُﻮﻝِ
» ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠَّﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺭَﺟُﻞٌ ﻳَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺃَﺭْﻗِﻲ ﻗَﺎﻝَ : ‏« ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻄَﺎﻉَ ﻣِﻨْﻜُﻢْ ﺃَﻥْ ﻳَﻨْﻔَﻊَ ﺃَﺧَﺎﻩُ ﻓَﻠْﻴَﻔْﻌَﻞْ
Maksudnya :
Abu Zubair berkata : Aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah S.A.W. Maka berkata seorang lelaki wahai Rasulullah S.A.W. ! bolehkah aku jampi ? Baginda S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang mampu di antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.”
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4076)
Menurut keterangan hadis ini, jampi mantera ada kalanya boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Seorang Sahabat, Jabir R.A memberitahu Rasulullah S.A.W bapa saudaranya pandai menjampi. Mendengarkan kata-katanya, itu, baginda S.A.W terus melarang amalan jampi mantera. Bapa saudara Jabir R.A kemudian menemui baginda S.A.W dan memperdengarkan bacaan jampinya untuk merawat sakit sengatan kala jengking. Setelah mendengar, baginda S.A.W menjawab, “sekiranya ada di antara orang Islam yang berupaya menolong saudaranya, ia hendaklah berbuat demikian” .
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4077)
Dalam peristiwa ini baginda S.A.W mula-mula menegah bapa saudara Jabir R.A melakukan jampi kerana menyangka jampi dituturkan dengan kalimah yang boleh mendatangkan syirik. Setelah mendengar jampi itu, baginda S.A.W membenarkannya apabila mendapati jampi itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Daripada sumber ini, para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat terhadap penggunaan jampi mentera atau serapah yang dibolehkan dan digunakan :
1. Menggunakan ayat al-Quran.
2. Menggunakan bahasa yang difahami.
3. Jangan mengi’tiqadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.
Berbalik kepada amalan tradisi kita yang menggunakan ayat-ayat al-Quran oleh Pengamal perubatan alternatif tidak semesti membuktikan apa yang dilakukan oleh individu yang terlibat adalah sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Dalam jampi mantera serapah Melayu, sebahagian daripada jampi yang dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan bismillah, salam, sebutan nama nabi, nama-nama khalifah dan sebagainya, termasuk sebutan syahadah di akhir pertuturan tersebut.
Walaupun demikian di tengah-tengah jampi, mantera atau serapah tersebut, dipanggil nama-nama jin, yang “diperintahkan” datang, mengganggu orang-orang tertentu, merasuk, menguasai roh orang berkenaan membolehkan orang yang berkenaan hilang akal, sasau atau sebagainya dengan izin Allah.
Sebutan-sebutan terhadap jin atau jin-jin itu dituturkan dengan perlahan, yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja, tidak difahami atau didengar dengan jelas oleh pelanggan yang berada di hadapannya. Ungkapan kata yang berunsurkan Islam disebut dengan kuat dan jelas pada permulaan juga pada akhir jampi.
Mengenai soalan yang berkaitan ayat-ayat al-Quran, kandungan Hadith ataupun doa dalam jampi mantera ataupun serapah, perlu dijelaskan bahawa sebutan-sebutan seperti ini juga tidak menjamin bahawa kewujudan kalimah-kalimah ataupun ayat-ayat tersebut menjadi alasan atau bukti bahawa amalan yang dilakukan itu sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga kalimah-kalimah yang memperlihatkan adanya pengaruh Islam. Kalimah-kalimah tersebut seperti sebutan nama malaikat, Rasul atau Nabi, khalifah, kalimah-kalimah berkat ataupun rangkaian kata syahadah yang digunakan dalam ungkapan jampi mantera ataupun serapah.
Penggunaan ayat-ayat al-Quran seperti dijelaskan, juga kalimah-kalimah yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Islam pada hakikatnya lebih banyak mengelirukan. Dalam banyak hal, kalimah-kalimah tersebut dicampuradukkan dengan nama-nama jin yang tidak diketahui hakikatnya, juga kata-kata yang tidak difahami maknanya, tidak dapat ditafsirkan dengan tepat.Ungkapan seperti ini terdapat dalam jampi, mantera dan serapah yang digunakan oleh mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan Melayu, terutama untuk rawatan dan persembahan teater tradisional.
Penggunaan kalimah-kalimah Allah yang diselit-selitkan dengan nama malaikat, Nabi, kalimah syahadah di samping sebutan nama jin dan syaitan merupakan perbuatan menghina atau mempersenda keagungan Allah yang diistilah sebagai istihza’ malah dalam ungkapan jampi pengasih misalnya, penggunaan kalimah-kalimah tersebut bagi tujuan jahat, menundukkan seseorang supaya jatuh kasih kepadanya menyebabkan mangsa rindu dendam, tertumpu akal fikiran dan ingatannya kepada orang yang memuja.
Walaupun demikian, kerana ungkapan tadi selalunya dituturkan dengan cepat, suara perlahan dan sukar didengar dengan jelas, selain kalimah Bismillah di awal kata, diikuti sebutan salam dan kalimah syahadah di akhir ungkapan, maka ia akan menimbulkan anggapan bahawa apa yang dibaca oleh penutur adalah terdiri daripada ayat-ayat al-Quran.
Di bawah ini diperturunkan satu rangkaian kata jampi pengasih sebagai contoh:Bismi ‘Llahi ‘r-rahmani r-rahim; bismillah urat daun; bismillah tembakau cina; bismillah asap pucuk; hei jin segala jin; pergi ambil hati (dengan menyebut nama mangsa dan nama ibunya); hantar mari kat aku; kalau tidak aku sumpah engkau; sumpah baginda rasulullah; dengan baginda rasulullah; dengan berkat doa; la ilaha illa ‘llah; muhammad ‘r-rasulullah.........

http://muis.org.my/2010/03/pembedahan-batin/

1 ulasan:

  1. Saya termakan makanan yang telah di sihir oleh jiran sebelah rumah. Menyebabkan saya diserang dari luar dan dalam.saya tidak mampu menanggung sakit.minta sesiapa yang tahu di mana bedah ghaib di kelantan, mohon whats app nombor saya 01172743193

    BalasPadam