ARKIB : 29/12/2012
'Keajaiban' bedah batin
SALAH satu teknik rawatan tradisional yang semakin popular hari ini adalah bedah batin. Bedah batin merujuk kepada proses pembedahan menggunakan peralatan sama seperti perubatan moden tetapi mendapat bantuan dari alam ghaib.
Antara 'keajaiban' teknik pembedahan itu pesakit dikatakan tidak perlu dibius ketika dibedah, walaupun untuk mengeluarkan organ dalaman.
Malah, menerusi teknik itu juga pesakit tidak perlu datang ke pusat rawatan tetapi rawatan boleh dilakukan dari jauh.
Bagi mendapat gambaran jelas mengenai teknik rawatan tersebut, penulis berkunjung ke sebuah pusat rawatan bedah batin di Kuala Lumpur.
Sebaik tiba di pusat rawatan yang beroperasi di premis perniagaan di tingkat bawah sebuah pangsapuri, penulis menuju ke meja pendaftaran yang dikendalikan oleh wanita dalam lingkungan usia 30-an.
Pada masa itu, kelihatan tiga pesakit sedang berbaring di atas katil yang disediakan bagi mendapatkan rawatan daripada seorang lelaki berusia awal 40-an.
''Itulah bomoh yang merawat pesakit di sini,'' ujar petugas di kaunter pendaftaran berkenaan.
Menurut wanita yang menjadi pembantu kepada bomoh berkenaan, selain pembedahan menukar organ, pusat rawatan itu juga menawarkan khidmat mencuci darah pada harga RM20 dan rawatan kebatinan untuk semua jenis penyakit termasuk penyakit yang berpunca daripada gangguan makhluk halus.
"Mereka yang datang biasanya menghidap sakit jantung, buah pinggang, barah dan ketumbuhan. Tapi kita boleh buat semua. Mereka yang susah dapat anak pun boleh mencuba,'' katanya.
Tambahnya, proses pembedahan dilakukan dalam keadaan sedar (tanpa bius) dan mendapat bantuan daripada alam ghaib.
Beliau mendakwa kelengkapan pembedahan di pusat rawatan itu sama seperti di hospital malah jauh lebih canggih, cuma tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Sementara itu, ketika berada di kaunter pendaftaran pusat rawatan itu mata penulis sempat 'menjelajah' ke bilik pembedahan yang menempatkan kira-kira 15 buah katil.
Antara yang paling mencuri perhatian penulis ketika itu adalah gelagat bomoh yang menggayakan aksi seperti sedang membedah pesakit. Sedangkan tidak kelihatan sebarang gunting atau pisau di tangannya.
Beberapa minit kemudian, bomoh berkenaan beralih ke hujung katil pesakit dengan jarinya yang bergerak seolah-olah sedang menyentuh papan kekunci komputer.
Selepas proses 'pemantauan berkomputer' itu tamat, pesakit diberi masa kira-kira 10 minit untuk berehat sebelum meninggalkan pusat rawatan berkenaan.
Selain itu pusat tersebut juga mendakwa mampu menjalankan rawatan dari jauh.
"Sebut sahaja nombor rumah, 'kami' boleh ke sana. Jika yang sakit sedang dirawat di hospital sebut sahaja nombor katil, kita buat dari jauh," ujar penjaga kaunter pendaftaran itu lagi.
Walaupun apa yang disaksikan seperti tidak masuk akal, namun perkhidmatan bedah batin di situ mendapat sambutan berdasarkan kehadiran pesakit ke pusat rawatan berkenaan.
Selain itu, peningkatan populariti teknik rawatan itu menyebabkan bilangan pusat rawatan yang menawarkan bedah batin turut bertambah.
Berdasarkan buku pendaftaran yang ditunjukkan oleh petugas kaunter pendaftaran, jumlah kehadiran pesakit pada hari tersebut mencecah 40 orang dan bertambah setiap hujung minggu.
Pusat rawatan yang beroperasi tiga hari seminggu itu mempunyai empat cawangan di luar Kuala Lumpur.
Sementara itu, bomoh yang menjalankan perkhidmatan itu sejak empat tahun lalu mendakwa, pesakit tidak perlu bimbang untuk menjalani rawatan kerana prosesnya tidak menyakitkan malah tidak meninggalkan kesan.
"Pembedahan menukar organ di hospital mungkin mengambil masa berjam-jam namun di sini hanya memakan masa 15 minit dengan bayaran RM200,'' katanya.
Info Rahsia Pakar Perubatan Islam.Bantuan Perubatan Tradisional Islam.InsyaAllah dengan IzinNya
Sabtu, 11 Mac 2017
Utusan Malaysia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan